PENYANYI Big Sean buat pertama kali tampil menyangkal dakwaan bekas teman wanitanya, Naya Rivera yang menuduh dia mencuri seutas jam tangan Rolex sekitar April tahun lalu. Big Sean memberitahu majalah Complex perbuatan untuk mencuri jam jenama mewah itu adalah tindakan paling bodoh kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan dan jaminan yang hanya akan memerangkap diri sendiri. "Saya bukan bodoh untuk mencuri jam Rolex malah saya sendiri mempunyai beberapa koleksi sendiri. Tuduhan itu tidak benar," katanya. Bagaimanapun Big Sean enggan mengulas tentang isu lain yang berbangkit dalam hubungannya itu dan mendoakan kebahagian Naya. "Segala perkara yang dia perkatakan tentang saya tidak lagi penting dan saya tidak terkejut dia bertindak demikian. "Semua sudah berlalu dan saya harap dia gembira dengan kehidupannya sekarang," katanya.