PELAKON Lee Min Ho dan Kim Soo Hyun dilaporkan menjadi artis Korea yang menerima bayaran termahal sekiranya membuat kemunculan di China. Pihak agensi kedua-dua selebriti itu bagaimanapun menangkis dakwaan berkenaan dan menjelaskan pihak mereka tidak pernah mendedahkan jumlah bayaran diterima artis mereka kepada umum. "Kononnya Soo Hyun menerima bayaran tinggi hanya untuk membuat kemunculan di China adalah tidak benar dan bukan daripada fakta sebenar. Malah kami di pihak agensi tidak pernah mendedahkan sebarang angka kepada umum," kata wakil KeyEast Entertainment yang mewakili Soo Hyun seperti dilaporkan Soompi. Manakala syarikat pengurusan Min Ho, Starhaus Entertainment memberitahu bayaran artis mereka tidak melihat bayaran sebagai soal utama kerana paling penting dapat muncul dalam program yang bagus dan dapat memberikan impak kepada kerjayanya. "Banyak tawaran yang luar biasa tetapi Min Ho sangat memilih projek yang ditawarkan kepadanya dan dakwaan dia menerima bayaran termahal tidak benar," katanya.