suria

Angelina Jolie Lakukan Pembedahan Ovari Minggu Lalu Untuk Elak Kanser

Angelina Jolie dan suaminya Brad Pitt

> Pelakon popular berusia 39 tahun itu telah pun melakukan pembedahan mastektomi dua tahun lalu

> Angelina Jolie, membuat pendedahan tersebut menerusi ruangan pendapat di akhbar popular The New York Times

> Dia kini mengalami proses menopaus akibat pembuangan ovarinya

> Pembedahan itu terpaksa dilakukan selepas ujian darah mendapati dia mungkin di peringkat awal kanser ovari

> Kini tidak boleh mengandung lagi

PELAKON popular dan isteri kepada Brad Pitt, Angelina Jolie mengesahkan yang dia telah menjalani pembedahan pembuangan ovari minggu lalu untuk menyelamatkan dirinya daripada dijangkiti sel kanser.

Menurutnya, ujian darah mendapati yang dia berhadapan dengan risiko mungkin di peringkat awal dijangkiti kanser ovari.

Akibat daripada pembedahan itu, Angelina tidak boleh lagi mengandung dan melahirkan anak.

Malah dia kini sedang berhadapan dengan proses menopaus awal.

Membuat pendedahan itu melalui satu rencana yang ditulisnya kepada ruangan pendapat akhbar popular The New York Times, ibu kepada enam orang anak itu berkata, mutasi genetik dalam DNAnya telah mendedahkannya kepada 87% risiko kanser payu dara dan 50% peluang untuk terkena kanser ovari.

Dua tahun lalu, dia telah pun melakukan pembedahan mastektomi untuk melindunginya daripada terkena kanser payu dara.

Aktres berusia 39 tahun itu menulis, ujian darah baru-baru ini telah mendapati dia berhadapan dengan satu lagi risiko kanser iaitu kanser ovari yang memaksanya membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pembuangan ovari dengan segera.

Dalam tulisan berjudul 'Angelina Jolie Pitt: Diary Of A Surgery' itu yang diterbitkan pada Isnin, Angelina menceritakan dengan panjang lebar berhubung keputusannya untuk sekali lagi melakukan pembedahan.

Malah Angelina berkata yang dia kini dalam proses menghadapi menopaus awal akibat pembuangan ovarinya itu dan tidak boleh lagi mengandung serta melahirkan anak.

Pada bulan Mei 2013, Angelina telah mengejutkan para peminatnya dan Hollywood dengan membuat pendedahan terbuka yang dia telah melakukan pembedahan pembuangan payu dara selepas ujian perubatan mendapati yang dia adalah pembawa mutasi genetik yang mendedahkannya kepada kanser payudara dan juga ovari.

Ibunya Marcheline Bertrand meninggal dunia pada Januari 2007 pada usia 56 tahun selepas lapan tahun bertarung dengan kanser ovari. Bukan itu sahaja malah nenek dan juga makciknya turut menjadi mangsa kanser yang sama.

Menurut Angelina, dia telah merancang untuk menjalani pembedahan itu agak lama tetapi panggilan telefon yang diterima daripada doktor peribadinya dua minggu yang lalu telah mendorongnya untuk membuat keputusan tersebut dengan lebih pantas.

Atas nasihat doktor, Angelina telah bertemu dengan doktor pakar yang pernah merawat ibunya dahulu.

"Saya telah melalui proses yang mana beribu lagi wanita lain telah merasainya dan saya memberitahu diri saya sendiri supaya bertenang dan kuat dan ini telah mendorong saya untuk berfikir bahawa tidak ada sebab mengapa saya tidak boleh terus hidup lebih lama untuk menyaksikan anak-anak saya membesar dan selepas itu menyaksikan kelahiran cucu-cucu saya," tulisnya.

Menurut Angelina lagi suaminya, Brad Pitt berada di Perancis ketika dia menerima berita mengenai ancaman kanser yang kedua itu lalu menyebabkan Pitt terus mengambil penerbangan balik segera ke Los Angeles, Amerika untuk bersama isteri kesayangannya.

Angelina Jolie, Brad Pitt

Artikel Lain