PENERBIT Ekskutif American Idol iaitu Nigel Lythgoe menyalahkan penyanyi Mariah Carey dan Nicki Minaj sebagai punca program itu bakal dibatalkan selepas musim ke-15 tahun hadapan. Bercakap kepada Billboard, Nigel, 65, menyifatkan keputusan menggandingkan mereka sebagai juri pada musim ke-12 pada 2013 adalah kesilapan terbesar dibuat produksi tersebut. Jelasnya lagi, drama yang menyelubungi kedua-dua penyanyi itu telah menyebabkan tumpuan penonton hanya tertumpu kepada mereka dan bukannya peserta bertanding. Nigel memberitahu gandingan Mariah dan Nicki adalah satu kesilapan. "Perbalahan dan drama yang berlaku di antara Mariah dan Nicki telah menyebabkan American Idol sampai ke penghujungnya. "Mengambil mereka sebagai juri adalah kesilapan paling besar pernah dilakukan tetapi jika mereka tidak digandingkan bersama barangkali ia berjaya seperti mana musim terdahulu," katanya. Ketika itu, keadaan menjadi kecoh apabila video Mariah dan Nicki bertikam lidah mengenai pemilihan peserta uji bakat disebarkan TMZ dan ia mendapat perhatian meluas media. Barisan juri musim ke-14 iaitu (dari kiri) Keith Urban, Jennifer Lopez dan Harry Connick Jr. Berita pembatalan program itu dibuat pada Isnin lalu selepas produksi memberitahu tahun hadapan bakal menjadi musim terakhir. Ketika ini, musim ke-14 sedang lagi berlangsung dan diterajui oleh penyanyi Jennifer Lopez, Keith Urban dan Harry Connick Jr sebagai juri manakala Ryan Seacrest sebagai hos. Sepanjang 14 tahun ke udara, American Idol telah banyak mencungkil bakat penyanyi berbakat seperti Kelly Clarkson, Carrie Underwood, Ruben Studdard, Fantasia Barrino, Jordin Sparks, Kris Allen dan Jennifer Hudson.