PENYANYI yang pernah menjadi fenomena menerusi lagu Gangnam Style, Psy kini sedang memberi fokus untuk muncul dengan produk muzik terbaharu. Menurut laporan Soompi, selepas tiga tahun tanpa album, Psy bakal mengeluarkan album baharu yang dijangka akan dipasarkan akhir tahun ini. Menurut agensi pengurusan penyanyi itu iaitu YG Entertainment (YGE), Psy begitu teliti dalam memilih lagu-lagu terbaik buat para peminatnya. "Pihak kami belum menetapkan tarikh kemunculan album baharu Psy memandangkan kami masih lagi membuat pemilihan lagu terbaik," kata wakil YGE. Kali terakhir Psy mengeluarkan album adalah pada Julai 2012 iaitu Psy 6 (Six Rules), Part 1. Sejak Gangnam Style menjadi fenomena, Psy turut meraih kejayaan menerusi lagu Gentlemen dan Hangover.