SELEPAS penantian yang lama, akhirnya penyanyi Rihanna membuat pengumuman bakal melancarkan album kelapannya berjudul Anti. Menurut laporan Channel.24, pengumuman itu dibuat menerusi akaun Twitter milik penyanyi berusia 27 tahun itu dan album tersebut sudah pun disiapkan. Sejak beberapa minggu lalu, Rihanna sudah pun memulakan strategi pemasarannya dengan kempen #ANTIdiary di Instagram dan perkara itu membuatkan peminat-peminatnya dapat mengagak dia bakal muncul dengan lagu baharu. Difahamkan, album Anti sepatutnya dilancarkan pada November lalu, namun terdapat beberapa perubahan di mana ia akan muncul dalam masa terdekat ini. Kali terakhir Rihanna tampil dengan album studio adalah pada tahun 2012 iaitu Unapologetic.