KUMPULAN Big Bang mencipta rekod pencapaian baharu apabila konsert jelajahnya berjudul MADE berjaya mengumpul 1.5 juta penonton. Kumpulan itu menjelajah 32 buah bandar di 13 negara itu dikatakan mendapat sambutan luar biasa di kalangan peminatnya. Konsert tersebut berakhir di Seoul, Korea Selatan pada 4 hingga 6 Mac lalu. Ia disiarkan secara langsung menerusi sebuah aplikasi telefon yang boleh ditonton oleh peminatnya di luar negara itu. Biar konsert MADE sudah berakhir, namun Big Bang sudang mengumumkan untuk mengadakan sebuah lagi konsert bagi merayakan ulang tahun ke 10 pembabitan mereka dalam industri seni. "Sepanjang 10 tahun ini banyak pahit manis yang kami lalui dan peminat adalah salah satu perkara manis yang banyak menyokong kerjaya kami. "Kami akan mengadakan sebuah konsert sempena 10 tahun dalam industri di lokasi awam dan terbuka di Korea," ujar ketua kumpulan, G Dragon. Tambahnya konsert istimewa itu akan diadakan dalam sebuah festival besar-besaran yang akan berlangsung seharian dengan pelbagai aktiviti bersama peminat.