suria

Val Kilmer Sangkal Derita Akibat Kanser Tekak

Pelakon terkenal Val Kilmer menyangkal dia kini menghidap kanser tekak seperti didedahkan aktor Michael Douglas.
PELAKON terkenal Val Kimer menyangkal dakwaan kononnya dia kini menderita kanser tekak tahap akhir seperti didedahkan oleh rakan baiknya, aktor Michael Douglas baru-baru ini.

Val, 56, dalam status di Facebook miliknya menjelaskan kenyataan dibuat Michael itu berkemungkinan daripada salah faham ketika dia meminta nasihat berhubung masalah tekak dihadapinya dua tahun lalu.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya kira-kira dua tahun lalu dan ketika itu saya minta pandangannya berhubung hospital terbaik untuk saya pergi kerana mengalami masalah gumpalan dalam tekak.

"Bagaimanapun saya telah pergi ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan dan saya lega apabila masalah tekak yang saya hidapi tidak serius dan bukannya kanser," katanya dalam status berkenaan seperti dilaporkan Daily Mail.

Terdahulu Michael ketika memberi ucapan dalam satu acara di London mendedahkan Val menghidap kanser tekak sama seperti dialaminya dan kenyataan itu membuatkan peminat terkejut.

Michael Douglas mendedahkan Val menghidap kanser tekak dalam satu acara di London baru-baru ini.

Val bagaimanapun tidak menafikan dia masih mempunyai masalah tekak termasuk sukar menelan dan lidah membengkak namun ia terkawal.

Dalam pada itu, Val turut menjemput peminatnya untuk menghadiri sesi temubual filem terbaharu yang diarahkannya untuk melihat sendiri keadaan dia selain bertanyakan soalan berhubung perkara itu.

"Saya berlakon dalam tiga filem tahun ini yang satu daripadanya saya sendiri arahkan dan kebetulan saya akan mengadakan sesi memperkenalkan karya itu dalam masa terdekat ini.

"Saya jemput peminat atau sesiapa yang berasa ragu tentang kesihatan saya dan saya akan jawab pertanyaan anda," katanya.

Sementara itu, Val berkata, dia menyimpan perasaan dendam atau marah terhadap Michael kerana memahami sikap penyayang dan ambil berat lelaki itu terhadapnya.

"Dia tidak berniat jahat apabila dia mendakwa saya menghidap kanser kerana sebenarnya dia mengambil berat dan sayangkan sahabatnya.

"Saya pula dilihat senyap daripada menjawab sebarang spekulasi tentang kesihatan bukan kerana saya tidak ambil berat tetapi tiada apa yang perlu saya perjelaskan," ujarnya.

Michael Douglas, Val Kilmer

Artikel Lain