PENYANYI Luna Maya kecewa dengan sikap rakan kongsinya penyanyi dangdut Ayu Ting Ting yang diketahui melanggar kontrak perjanjian perniagaan fesyen mereka. Seperti dipetik Detik Hot, Luna turut membatalkan perjanjian berkenaan dan memadam semua foto-foto bersama Ayu Ting Ting di akaun Luna Habit x Ayu Ting Ting. "Sangat sedih kerana jadi perkara begini, suami isteri sahaja boleh bercerai, apa lagi teman baik dan hanya teman bisnes. Saya akan lebih berhati-hati dan belajar daripada kesilapan ini," ujarnya. Menurut Luna, dia mengetahui rakan kongsinya itu juga sudah menandatangani kontrak bersama usahawan lain dalam bidang perniagaan yang sama. Dia juga kesal, perkara itu diketahui menerusi orang luar dan bukan daripada penyanyi dangdut itu. Sementara itu, Ayu Ting Ting memberitahu kontrak yang ditandatangi dengan pelakon berkenaan sudah selesai. "Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Luna kerana kontrak itu sudah selesai dan saya sudah melakukan promosi seperti apa yang dijadualkan Luna. "Saya tidak faham mengapa dia tuduh saya tiada etika," ujarnya.