RUMAH TANGGA pasangan Kim Kardashian dan Kanye West dilaporkan goyah disebabkan beberapa episod hitam yang melanda keluarga mereka sejak kebelakangan ini. Daily Mail melaporkan bintang realiti berusia 35 tahun itu dikhabarkan sudah tidak tahan untuk meneruskan perkahwinan bersama Kanye dan merancang untuk bercerai. Malah sumber turut mendedahkan situasi rumah tangga pasangan itu berada dalam keadaan tegang dan Kim akan memastikan hak penjagaan dua anak mereka iaitu North dan Saint berpihak kepadanya. "Kim berasa terperangkap dalam perkahwinan tersebut dan perkara buruk yang menimpa keluarga mereka," kata sumber. Dalam pada itu, Kanye yang dimasukkan ke hospital selama 10 hari pada bulan lalu akibat gangguan mental dikatakan penyebab Kim tidak lagi tahan dengan suaminya itu. "Kim terpaksa berhadapan dengan masalah kesihatan suaminya yang mengalami tekanan perasaan dan ditambah dengan masalah lain Kim tidak lagi gembira dengan perkahwinannya," kata sumber lagi. Kim juga dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kanye di kediaman mewah mereka di Bel-Air sebaliknya menyewa sebuah rumah di Los Angeles. Bagaimanapun pasangan itu masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.