PENYANYI Jaejoong dari kumpulan JYJ meluangkan masa melawat peminatnya yang berada dalam keadaan koma di sebuah hospital di Korea Selatan. Allkpop melaporkan peminat itu yang dikenali sebagai Rapiphorn Nasaarn yang berasal dari Thailand jatuh sakit ketika berada di Seoul untuk melancong dan kini berada dalam keadaan kritikal. Selebriti terkenal itu menghabiskan masa selama 20 minit melawat Rapiphorn namun memakai topi dan penutup wajah bagi mengelakkan identitinya dikenali. Jaejoong turut bermurah hati dengan menderma wang tunai sebanyak USD18,000 (RM79,000) kepada bapa wanita itu, Theerapong Nasaarn yang terbang ke negara itu untuk mejaga anaknya. Penyanyi itu turut mengambil gambar swafoto bersama Rapiphorn dan meminat bapanya menunjukkan gambar itu kepadanya apabila dia sedar nanti. Jaejoong turut mendermakan wang kepada bapa peminatnya. Rapiphorn atau dikenali sebagai Min adalah peminat kpop dan pernah menonton konsert JYJ yang diadakan di Bangkok pada Mac lalu. Penyanyi itu mendapat tahu tentang keadaan Min daripada salah seorang kenalan dari Thailand yang bekerja di Persatuan Pengurusan Industri Hiburan Korea. Dia terus melawat wanita itu sejurus selepas pulang dari menjayakan konsert di Taiwan. Sementara itu, Pengarah Persatuan Pengurusan Industri Hiburan Korea, Lee Ill yang turut menemani Jaejoong pada lawatan itu memberitahu penyanyi itu sebenarnya tidak mahu perkara itu menjadi tumpuan umum. Bagaimanapun Ill berkata, Jaejoong berterima kasih kepada sokongan peminat dan niatnya hanya ingin membantu peminatnya yang telah banyak memberi sokongan kepadanya.