suria

Johnny Depp Saman Pengurus Tanggung Hutang RM176 Juta

Johnny Depp menanggung hutang sebanyak RM176 juta.

PELAKON Johnny Depp memfailkan saman terhadap bekas syarikat pengurusannya iaitu The Management Group (TMG) sebanyak AS$25 juta atau kira-kira RM110 juta atas dakwaan kecuaian dan membuat penyataan palsu.

Johnny turut mendakwa TMG yang dimiliki oleh pasangan adik-beradik Joel Mandel dan Rob Mandel gagal memfailkan cukai pendapatannya tepat pada masanya selain mengambil pinjaman dengan faedah tinggi.

Gara-gara gagal menguruskan kewangannya dengan baik, Johnny turut mendakwa dia kini menanggung hutang sebanyak AS$40 juta (RM176 juta).

Bagaimanapun TMG dalam satu kenyataan pula memberitahu sikap boros dan kehidupan mewah aktor itu menjadi punca Johnny mengalami masalah kewangan.

"Kehidupan mewah Johnny di luar pemikiran dan kos untuk menanggung sikap borosnya adalah AS$2 juta (RM8.8 juta) setiap bulan dan dia sebenarnya tidak mampu.

"Memang kami menjaga kewangannya tetapi kami juga langsung tidak mempunyai kuasa untuk mengawal perbelanjaannya yang mengakibatkan kepada masalah ini," katanya dalam keterangan balas terhadap dakwaan difailkan Johnny.

Dalam pada itu, Johnny, 53, ketika diminta mengulas mengenai sikap borosnya berkata, dia berhak untuk membelanjakan wang hasil titik peluhnya.

"Jika saya diluar kawalan kenapa mereka tidak mahu undur diri sejak dahulu lagi?

"Saya bekerja keras setiap hari sepanjang karier saya dan percaya ramai orang disekeliling saya tetapi nampaknya mereka mempergunakan dan mengecewakan saya," katanya.

Johnny Depp

Artikel Lain