BAHARU sahaja mengumumkan kehamilannya Selasa lalu, isteri kepada pelakon dan penyanyi Rain iaitu Kim Tae Hee masih aktif seperti biasa. Tiada tanda-tanda untuk berehat bagi memberi fokus kepada kandungannya, bintang berusia 36 tahun itu sebaliknya mengumumkan untuk berkolaborasi dengan sebuah syarikat kosmetik terkenal. Seperti dipetik Koreaboo, Kim Tae Hee juga baharu sahaja mengadakan aktiviti bertemu peminat di Lotte Department Store, Seoul Sabtu lalu. Terdahulu, Selasa lalu, agensi Kim Tae Hee mengumumkan bahawa wanita itu sudah hamil 15 minggu. "Kim Tae kini hamil 15 minggu dan dia akan fokus terhadap kesihatan kandungannya. Dia juga ingin memberitahu berita gembira ini kepada semua dan berterima kasih atas doa peminat-peminatnya," ujar agensi. Pasangan ini berkahwin pada 19 Januari lalu dalam sebuah majlis tertutup.