BERITA penyanyi T.O.P.terlibat dalam skandal penyalahgunaan dadah mengejutkan peminatnya di seluruh dunia. Bagaimanapun kejadian memalukan itu sedikit pun tidak membuatkan peminat ahli kumpulan Big Bang itu berganjak daripada terus menyokongnya. Malah sejak berita mengenai penglibatan T.O.P. menggunakan dadah jenis marijuana tersebar sejak beberapa hari lalu, peminat mulakan kempen hastag #AlwaysHereForTOP. Menerusi hastag itu, peminat bukan sahaja menunjukkan sokongan mereka malah turut memuat naik gambar T.O.P dengan mesej positif. T.O.P kini masih disiasat kerana menggunakan dadah namun pada masa sama masih meneruskan latihan kententeraan sehingga keputusan mengenai kes itu dibuat. Sementara itu, T.O.P. yang berdiam diri sejak kes itu tersebar memuat naik sekeping surat tulisan tangan di Instagram miliknya bagi memohon maaf kepada peminat atas kejadian itu. T.O.P. dalam kenyataannya memberitahu dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk mempertahankan dirinya dan mengakui apa dilakukan adalah salah. Dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya pada masa hadapan dan terharu dengan sokongan peminat pada saat sukar ini.