ISU penyalahgunaan dadah melibatkan penyanyi T.O.P. nampaknya masih belum selesai apabila timbul dakwaan baharu. Koreaboo melaporkan wanita yang bersamanya ketika mengambil barang terlarang itu mendakwa dia tidak berniat untuk mengambil dadah tetapi T.O.P. yang menawarkan kepadanya. Wanita itu yang juga seorang artis baharu dikenali, Han Seo Hee, berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana ramai menyalahkannya wahal dia adalah mangsa dalam kes itu. "Saya mengakui semua kesalahan yang telah saya lakukan tetapi dia (T.O.P.) yang menawarkan dadah itu kepada saya. "Saya tidak pernah memintanya memberikan benda terlarang itu kepada saya dan dadah jenis marijuana itu pun bukan kepunyaan saya," katanya. T.O.P. mengaku salah atas semua pertuduhan menggunakan dadah pada Jun lalu. Menurut Seo Hee lagi, T.O.P. dan pihak pengurusannya berani meletakkan kesalahan itu atas bahunya kerana dia bukanlah sesiapa dalam industri hiburan. Bagaimanapun katanya lagi, dia boleh memahami mengapa kesalahan itu diletakkan kepadanya kerana T.O.P. seorang selebriti popular dan kejadian itu akan menyebabkan karier seninya hancur. "Saya faham kenapa kesalahan itu diletakkan di bahu saya dan saya pun bukannya sesiapa dan orang akan lupakan begitu sahaja tetapi tidak T.O.P. "Saya cakap apa pun tidak akan ada orang percaya," jelasnya. Terdahulu, T.O.P mengaku salah terhadap semua tuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah jenis marijuana sebelum ini. Anggota kumpulan Big Bang itu membuat pengakuan itu selepas tampil pada sebutan kes itu di mahkamah pada Jun lalu. Hakim yang mendengar kes itu memerintahkan T.O.P. diletakan dibawah pemerhatian selama dua tahun namun sekiranya gagal mematuhi perintah sepanjang tempoh itu dia akan dikenakan penjara selama 10 bulan.