UMUM mengetahui perang dingin yang berlaku di antara penyanyi Taylor Swift dan Kanye West dan nampaknya peperangan bakal tercetus. Mana tidaknya, Taylor dituduh sengaja memilih tarikh kematian ibu Kanye iaitu pada 10 November untuk melancarkan album terbaharunya yang berjudul Reputation. Pada tarikh itu juga adalah ulangtahun ke-10 kematian ibu Kanye dan kebetulan itu membuatkan peminat mula membuat spekulasi Taylor ingin mengenakan Kanye. Ini kerana kematian ibunya meninggalkan kesan mendalam kepada diri Kanye memandangkan hubungan mereka akrab. Bagaimanapun sumber kepada penyanyi lagu Shake It Off itu menafikan perkara itu dan menjelaskan tarikh itu adalah secara kebetulan. Kanye West. "Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana artis untuk melancarkan album mereka pada hari Jumaat dan kebetulan 10 November jatuh pada hari itu," ujar sumber kepada E Online. Pergaduhan di antara Kanye dan Taylor tercetus pada 2009 apabila penyanyi rap itu menganggu ucapannya ketika menerima trofi pada acara Anugerah MTV. Kanye bagaimanapun memohon maaf kepada Taylor di Twitter. Bagaimanapun pada Februari tahun lalu, Kanye sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia menyelar Taylor dalam lagunya iaitu Famous. Kanye bagaimanapun mendakwa, Taylor sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan terkejut apabila dia berpura-pura tidak tahu dan berlagak seperti mangsa keadaan.