SELEPAS Psy, kumpulan sensasi Korea Selatan iaitu BTS bakal mengadakan persembahan sulung mereka menerusi American Music Awards yang bakal berlangsung di Los Angeles pada 19 November ini. Forbes melaporkan BTS bakal mempersembahkan lagu terbaharu mereka berjudul DNA pada acara itu. Selain BTS, beberapa lagi nama besar akan mengadakan persembahan pada acara itu adalah Christina Aguilera, Selena Gomez dan penyanyi legenda, Diana Ross. BTS mencipta sejarah tersendiri apabila album mereka berjudul Wings berjaya tersenarai dalam carta Billboard 200 pada tahun lalu. Malah lagu DNA juga tersenarai dalam carta Billboard 100 pada tangga ke 67. BTS juga pernah menerima trofi Top Social Award pada Anugerah Billboard 2017. Sementara itu, Koreaboo melaporkan BTS juga bakal muncul dalam program bual bicara popular iaitu The Ellen DeGeneres Show. Pihak penerbit ekskutif program itu, Andy Lassner mengesahkan mengenai khabar angin itu dan memberitahu BTS akan muncul sebagai tetamu Ellen DeGeners. "Ia akan berlaku," kata Andy. Manakala syarikat pengurusan BTS turut mengesahkan ada menerima tawaran daripada pihak produksi program bual bicara itu dan memberitahu BTS teruja mengenainya.