PENYANYI Mariah Carey dilaporkan menjalani pembedahan sleeve gastrik bagi mengecilkan saiz perut sebagai langkah terakhir mengurangkan berat badannya. Page Six melaporkan, Mariah, 47, didakwa melakukan pembedahan itu enam minggu lalu selepas berasa tertekan dengan kritikan terhadap berat badannya yang naik mendadak sejak awal tahun ini. "Mariah selalu berasa tertekan dengan berat badannya dan tekanan itu menggangunya apabila dia dikritik hebat oleh netizen di laman sosial. "Sehinggakan dia mengarahkan tag saiz pada pakaiannya ditanggalkan kerana dia tidak mahu mengetahui saiznya sekarang," kata sumber. Sumber itu juga memberitahu Mariah kini berasa lebih yakin dengan dirinya sejak pembedahan itu dan menganggap ia adalah permulaan baharu untuknya. Perbezaan berat badan Mariah yang sangat ketara hanya selang beberapa minggu. Bagaimanapun, ramai menganggap berita itu sebagai mengarut kerana sepanjang enam minggu lalu Mariah sentiasa membuat kemunculan di khalayak ramai. Malah pembedahan sleeve gastrik itu kebiasaannya hanya sesuai dilakukan bagi orang yang mempunyai masalah obesiti melampau. "Jika difikirkan gosip itu mengarut kerana kalau Mariah melakukan pembedahan pastinya dia berada di hospital untuk satu tempoh. "Tetapi sepanjang enam minggu lalu, Mariah sentiasa muncul dikhalayak dan sentiasa dikelilingi paparazi," kata peminat. Pihak pengurusan Mariah bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.