suria

Seungri Bukan Pilihan Sertai Big Bang

Seungri hampir tidak terpilih menganggotai Big Bang ketika kumpulan itu ditubuhkan pada 2006.

NAMA penyanyi Seungri hampir tidak tersenarai sebagai barisan anggota Big Bang ketika penubuhan kumpulan Kpop terkenal itu pada 2006.

Ketua Pegawai Ekskutif YG Entertainment, Yang Hyun Seok mendedahkan dia ingin menyingkirkan Seungri kerana merasakan dia tidak mempunyai bakat sebagai penyanyi.

"Saya ingin mencipta penyanyi bukannya penari. "Dalam hal ini Seungri kekurangan kelebihan itu dan membuatkan saya terfikir untuk menyingkirkannya daripada Big Bang," katanya seperti dilaporkan Koreaboo.

Selain Seungri, Big Bang turut dianggotai oleh G-Dragon, Taeyang, T.O.P. dan Daesung.

Dalam pada itu, Hyun Seok berkata, dia akhirnya memberi peluang kepada Seungri kerana terharu dengan kesungguhannya selain membuktikan dia boleh menyanyi dan menari.

Big Bang menjadi antara perintis populariti muzik kpop di seluruh dunia.

"Saya terpegun dengan persembahan uji bakatnya apabila dia diberi peluang sekali lagi dan tak sangka dia boleh menyanyi dengan baik.

"Namun saya memberi amaran kepadanya agar tidak mensia-siakan peluang diberikan dan ternyata dia membuktikan diri," katanya.

Sementara itu, Seungri ketika mengimbau pengalaman itu berkata, dia memberikan lima alasan mengapa dia patut menyertai Big Bang ketika pihak YG Entertainment ingin mengugurkan namanya.

Kata Seungri, imej dirinya selain dia boleh menyanyi dan menari adalah kelebihan kepada Big Bang malah menyifatkan wajahnya yang kacak memberi tambah nilai dalam menarik peminat.

"Selain itu tiada siapa dapat menjatuhkan keyakinan diri saya dan saya akan sentiasa memberikan yang terbaik!

"Saya tiada alasan kelima tetapi jika diberi peluang saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Seungri, Big Bang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain