KISAH kumpulan A Pink yang sering menerima ancaman bom daripada individu tidak dikenali bagaikan tiada berkesudahan. Allkpop melaporkan kali ini salah seorang anggotanya iaitu Eunji pula menjadi mangsa ancaman sama pada Selasa lalu. Kejadian berlaku sewaktu Eunji dijangka menghadiri sidang media drama lakonannya di sebuah hotel di Seoul. Bagaimanapun pihak hotel menerima panggilan ancaman bom kira-kira sejam sebelum sidang media berlangsung iaitu pada pukul 2 petang. Menerusi panggilan itu suspek memberitahu dia berdendam dan mahu meletupkan bom di lokasi sidang media. Pemeriksaan pihak berkuasa bagaimanapun mendapati tiada bom di lokasi kejadian. Dalam pada itu, polis sedang dalam proses siasatan bagi mengenal pasti individu di sebalik panggilan itu. Tahun ini sahaja A Pink sudah menerima lebih 10 ancaman bunuh melibatkan panggilan bom palsu.