PELAKON terkenal Arnold Schwarzenegger dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital di Los Angeles pada Jumaat lalu. Jurucakap pelakon berusia 70 tahun itu memberitahu Arnold berada dalam keadaan baik dan kini bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya. "Ayat pertamanya selepas sedar, 'saya kembali!' dan beliau dalam keadaan yang cukup positif untuk pulih sepenuhnya," kata jurucakap pelakon itu. Ini adalah pembedahan jantung kedua Arnold bagi menggantikan injap pulmonari yang dipasang pada 1997. Arnold yang juga bekas gabenor California adalah seorang atlet bina badan sebelum menjinakkan diri dalam bidang lakonan. Antara filem lakonannya yang mendapat sambutan luar biasa peminat adalah Barbarian (1982) dan Terminator. Beliau bertindak sebagai gabenor California dari tahun 2003 sehingga 2011.