PENANTIAN peminat kumpulan K-Pop Wanna One akhirnya terubat dengan kehadiran mereka ke negara ini menerusi penganjuran konsert jelajah dunia yang dinamakan One: The World di Axiata Arena, Sabtu lalu. Dibarisi 11 anggota yang memiliki rupa paras kacak, peminat yang hadir ternyata tidak dapat membendung keterujaan mereka. Masakan tidak, seawal pukul 3 petang, perkarangan Axiata Arena sudah dibanjiri kumpulan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Wannable. Sementara menunggu konsert bermula pada pukul 8 malam, mereka berpeluang membeli cenderamata Wanna One yang dijual di sekitar lokasi itu. Setelah bermulanya konsert, peminat tidak henti bersorak dan berteriak tanda sokongan padu kepada anggota kumpulan itu. Ternyata, mereka membawa aura luar biasa dengan persembahan penuh energetik, dibantu pula dengan elemen visual dan audio bertaraf antarabangsa. Sinaran laser berwarna-warni turut dipancar ke ke seluruh arena itu tatkala Wanna One mempersembahkan lagu-lagu hits mereka. Antara lagu yang dipersembahkan ialah Burn It Up, Boomerang, Beautiful, Light, Never, Always dan I Promise You. Selain persembahan penuh bertenaga, mereka turut mempamerkan keunikan vokal menerusi lagu bergenre balada yang ternyata menyentuh emosi mereka yang hadir ke konsert itu. Malah, peminat turut ikut serta menyanyikan setiap seni kata lagu sehingga bergema keseluruhan arena itu. Selain paduan rentak tari lincah dan kelunakan vokal, mereka turut mencuit hati peminat apabila cuba menyampaikan beberapa perkataan dalam Bahasa Melayu sewaktu sesi selingan antara lagu. Ternyata, ia satu pengalaman hebat yang cukup berbaloi dan pasti akan dikenang dalam tempoh yang lama. Malah, kehebatan mereka pastinya akan dirindui peminat dari negara ini yang rata-ratanya berharap mereka akan kembali lagi dalam tempoh terdekat. Wanna One dianggotai Kang Daniel, Park Jihoon, Hwang Min-hyun, Bae Jin Young, Lai Kuan-lin dan Kim Jae-hwan, Yoon Ji-sung, Ha Sung-woon, One Seong-wu, Park Woo-jin dan Lee Dae-hwi. Konsert jelajah dunia itu dibawakan oleh YJ Partners dan IMC Live Group. Selain Kuala Lumpur, mereka turut bertandang ke Singapura, Indonesia dan Hong Kong menerusi konsert jelajah itu.