ANGGOTA kumpulan GOT7, BamBam menjadi tumpuan peminat apabila dia hadir pada sesi pemeriksaan kesihatan bagi pemilihan peserta latihan ketenteraan di negara kelahirannya, Thailand. Koreaboo melaporkan, peminat semakin 'menggila' apabila BamBam membuka bajunya sehingga mendedahkan tubuh sasanya ketika beratur untuk menunggu gilirannya. Menyedari dia menjadi perhatian, BamBam dilihat tersenyum malu dan menutup wajahnya apabila orang ramai yang menunggu di situ mula merakamkan gambarnya. Gambarnya tidak berbaju mula tersebar di laman sosial dan peminat memuji bentuk tubuhnya. "Mungkin BamBam yang jalani pemeriksaan kesihatan tetapi kami yang sakit!," komen peminatnya. BamBam. BamBam yang menetap di Korea Selatan kembali ke Thailand bagi sesi 'loteri' pemilihan peserta latihan tentera selama dua tahun di negara itu. Mengikut undang-undang di Thailand, semua lelaki berusia 18 hingga 30 tahun diwajibkan menyertai latihan ketenteraan namun ia dibuat secara berperingkat. Peringkat pertama, ia terbuka kepada semua golongan sasaran untuk menawarkan diri secara sukarela atau dipanggil pada sesi loteri untuk dipilih secara rawak menerusi cabutan sama ada terpilih atau terselamat daripada menyertai latihan itu. Bagaimanapun mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan fizikal terlebih dahulu bagi memastikan mereka adalah calon yang layak.