suria

Bangkit, bersuara dan hentikan buli! - Itu pesan Choi Si Won

Choi Si Woon bersama Nurul Izzah dalam program Youth Talk di ibu negara minggu lalu.

KEMPEN untuk menghentikan gejala buli dan keganasan di peringkat sekolah di Malaysia kini mendapat sokongan bintang terkenal Korea Selatan, Choi Si Won.

Anggota kumpulan Super Junior itu menggunakan pengaruhnya sebagai selebriti terkenal untuk membantu dalam kempen #EndViolence oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam usaha mendekati golongan muda bagi mencari penyelesaian masalah buli.

Si Won menghadiri acara Youth Talk di Malaysia pada minggu lalu.

Dalam acara itu, dia bercakap di hadapan 50 pelajar dan guru dari pelbagai sekolah yang mengambil bahagian dalam kempen #StandTogether yang dilancarkan awal tahun ini.

Acara yang dianjurkan bersama oleh Unicef Malaysia dan Digi itu bermula dengan sesi brainstorming bersama pelajar.

Kemudian, mereka membentangkan idea itu kepada panel yang terdiri daripada pelakon yang juga duta Unicef Malaysia, Lisa Surihani, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Si Won.

Mereka yang terlibat dalam Youth Talk bagi menghentikan gejala buli.

R.AGE yang merupakan sebuah penerbitan milik Star Media Group turut diberi kesempatan untuk menemubual bintang K-pop itu secara eksklusif.

Ikuti temubual yang dijalankan oleh wartawan R.AGE, Myrra Baity.

1. Apakah perasaan kamu dapat menjadi sebahagian daripada program #EndViolence oleh Unicef?

Saya sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada kempen global ini.

Saya biasanya datang ke Malaysia dengan anggota kumpulan Super Junior untuk membuat persembahan, tetapi kali ini saya hadir sebagai duta khas Unicef.  Saya gembira berada di sini dan berupaya membincangkan satu isu yang relevan baik di peringkat global mahupun di rantau Asia.

Ini adalah isu yang sangat sensitif, serius dan saya ingin fokus untuk membincangkan serta mencari penyelesaian. Sebab itulah saya berbesar hati dapat berjumpa dengan YB Nurul Izzah dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran serta para pelajar di sini.

2. Kenapa penting untuk selebriti bercakap mengenai gejala buli?

Jika selebriti kegemaran kamu seperti Michael Jackson misalnya bercakap mengenai sesuatu isu, kamu pasti akan lebih tertarik untuk mendengarnya.

Saya juga mahu mendekati individu-individu tertentu melalui cara ini kerana isu buli sangat serius dalam generasi sekarang.

Sebab itu saya datang. Selebriti boleh memberi pengaruh, jadi kita ada tanggungjawab untuk melakukan perkara yang betul.

Saya mahu lakukan banyak perkara seperti ini untuk membantu orang di luar sana.

3. Apakah pandangan kamu mengenai kempen Minggu Kebaikan Nasional di Malaysia yang dijalankan pada setiap minggu pertama April?

Sekiranya saya tahu mengenai projek ini, saya akan menumpukan lebih perhatian  sewaktu forum untuk bercakap mengenainya. Saya sentiasa percaya, jika anda melakukan perkara yang betul, perkara yang baik akan terjadi kepada anda dan begiut juga sebaliknya.

Bintang terkenal Siuper Junior, Choi Si Won turut melayan peminatnya ketika hadir ke Malaysia.

Saya rasa sesetengah orang sangat pentingkan diri sendiri. Terdapat banyak elemen negatif dan kemarahan di dunia hari ini. Jika anda boleh membuat seseorang menjadi baik, walaupun hanya selama satu minggu, itu adalah langkah pertama yang sangat baik.

4. Apakah mesej Si Won kepada pelajar-pelajar yang menyertai kempen ini?

Anda hebat dan saya tahu anda mempunyai masa depan cerah. Fokus pada pelajaran dan teruskan memperbaiki diri. Jangan putus asa. Jika ada yang menentang, ataupun tidak bertindak sekiranya menyaksikan gejala buli, peranan anda sangatlah penting.

Sekiranya ramai yang peka dan membantu, gejala buli dapat dihentikan. Jadi, bangkit dan bersuara untuk hentikan perkara ini.

5. Apakah cara untuk membantu pembuli agar berubah dan tidak lagi melakukannya?

Jika diberi peluang berbicara dengan mereka, saya akan syorkan supaya mereka kawal kemarahan mereka. Ramai yang suka marah dan tidak tahu untuk menguruskan emosi, mereka perlu cari jalan penyelesaian.

Sekiranya marah, cuba bayangkan, bagaimana jika mangsa buli itu adalah keluarga anda? Kemarahan tidak baik untuk diri, berjuang untuk menyelesaikan masalah sendiri bukannya lepaskan mekarahan pada orang lain. Kehidupan terlalu pendek untuk penyesalan.

6. Apakah mesej anda kepada orang di luar sana?

Saya tahu ia kadang-kala sangat sukar, jangan putus asa. Jika ada teman yang memerlukan bantuan, dengarlah masalah mereka, tolong emreka. Ingat bahawa kehidupan sangat berharga.

Untuk menyokong kempen Minggu Kebaikan Kebangsaan #StandTogether, anda boleh layari www.standtogether.my

Kempen ini diperkenalkan oleh R.AGE dan pemaju hartanah SP Setia. Ia disokong oleh Unicef Malaysia serta Digi, Petrosains, Teach For Malaysia, Study Hub Asia, 100% Project dan Kementerian Pendidikan.

Choi Si Woon, Super Junior

Artikel Lain