PENYANYI Jennie terpaksa menanggung kesakitan apabila seorang wanita secara sengaja melanggarnya menggunakan beg bagasi yang sedang dipegangnya dan terkena pada bahagian buku lali anggota kumpulan BLACKPINK itu. Koreaboo melaporkan kejadian itu berlaku ketika Jennie berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dan perbuatan itu berjaya dirakamkan oleh peminat yang turut berada di situ. Menerusi video tersebut, wanita tersebut yang memakai topi dilihat melulu dari arah belakang Jennie sebelum roda beg bagasi tersebut terkena kakinya. Jennie kemudiannya dilihat memaut bahu rakannya dan memberi reaksi dia dalam kesakitan. Dalam pada itu, rakaman itu yang tersebar menjadi topik perbincangan dalam kalangan peminat yang yakin perbuatan wanita itu adalah sengaja dengan niat untuk mencederakan Jennie. Ini kerana mereka merasakan tiada sebab untuk wanita itu berada dekat dengan Jennie memandangkan penyanyi itu turut dikelilingi pengawal peribadi.