LUAHAN seorang remaja mengenai kerisauan dia tentang ibu bapanya yang sering bergaduh dan kaki botol menerusi program Hello Counselor menarik perhatian anggota kumpulan GOT7, JB. Koreaboo melaporkan JB yang menjadi tetamu program itu mendedahkan ibu bapanya juga sudah bercerai dan masalah dihadapi remaja tersebut sama sepertinya. Kata JB, bapanya sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan ibu bapanya sering bergaduh dan akhirnya mereka bercerai. Malah kata JB, sehingga ke hari ini dia masih trauma apabila mengenangkan ibu bapanya dan mudah berasa takut dengan bunyi. "Keluarga saya juga begitu. Ibu bapa saya bercerai dan kini saya tinggal bersama ibu dan bapa tiri. "Apabila mereka bergaduh saya akan jadi panik dan mudah terperanjat dengan bunyi... Ia membuatkan saya takut. "Saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada anda kerana ia akan memberi impak besar terhadap diri," katanya.