KEHADIRAN kumpulan K-pop WINNER ke negara ini ternyata mencetuskan fenomena dan 'histeria' dalam kalangan peminat tempatan. Menerusi konsert WINNER 2018 Everywhere Tour yang dibawakan oleh MacpiePro pada Ahad lalu, kumpulan yang dibarisi empat jejaka itu berjaya memukau peminat dengan seleksi hits popular mereka. Persembahan penuh energetik dengan paduan vokal memukau turut membuktikan bakat yang dimiliki empat jejaka yang membarisi kumpulan itu. Seawal pukul tiga petang sahaja, ribuan peminat pelbagai lapisan usia mula membanjiri perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam. Tarian penuh bertenaga diiringi paduan vokal mantap buktikan kehebatan WINNER. Malah, kehadiran WINNER ke negara ini turut menjadi trending di laman sosial dengan ribuan kiriman tweet, foto dan video. Antara lagu yang dipersembahkan ialah Empty, Island, Really Really, Love Me Love Me dan Don't Flirt. Selain persembahan nyanyian dan tarian, mereka turut mencuit hati peminat apabila cuba berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. "Aku cinta padamu," ujar ahli kumpulan itu berulang kali sebelum disambut dengan jeritan dan tepukan gemuruh 6,500 penonton yang hadir. Kumpulan yang mula dikenali ramai bermula tahun 2014 ini sememangnya berada dalam kelas yang mereka yang tersendiri. Sewaktu selingan antara lagu, mereka turut bercerita mengenai pengalaman mereka ke negara ini. Seung-yoon dalam ucapan ringkasnya berkata, ahli kumpulan itu sempat merasai hidangan tempatan seperti sate dan nasi lemak di hotel penginapan mereka. Selain Seung-yoon, WINNER turut dianggotai oleh Song Min-ho, Seung-yoon, Jin-woo dan Seung-hoon. Sementara itu, seorang peminat yang ditemui menyifatkan konsert itu sebagai konsert terbaik yang pernah dihadirinya, setakat ini. WINNER merupakan pelapis kepada kumpulan K-pop paling popular di dunia, BigBang, dan mereka bernaung di bawah satu bumbung pengurusan. "Sebelum ini saya pernah menyaksikan konsert kumpulan iKON, pada saya WINNER sangat memukau dan lain dari yang lain. "Akhirnya dapat tengok depan mata, ia bagaikan mimpi yang bertukar menjadi realiti," ujar Hafizah Azahari, 24, yang sanggup memandu dari Pahang ke Shah Alam untuk menyaksikan konsert itu. Selepas Jepun, Taiwan dan Malaysia, konsert WINNER 2018 EVERYWHERE TOUR akan diteruskan ke Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia dan Hong Kong. WINNER bernaung di bawah pengurusan syarikat hiburan gergasi, YG Entertainment bersama kumpulan iKON, BigBang, 2NE1 dan BlackPink. Rata-rata peminat yang ditemui meluahkan mereka berpuas hati dan berharap mereka bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi.