PELAKON Bradley Cooper memberitahu dia mengalami kesakitan di bahagian kerongkong ketika menjalani latihan nyanyian bagi menghidupkan watak Jackson Maine dalam filem A Star Is Born. Bagaimanapun, usaha Bradley itu tidak sia-sia apabila dia mampu menyanyikan lagu dengan begitu baik dalam filem tersebut. "Saya mengalami rasa sakit selama beberapa bulan pertama penggambaran. Sakit yang teramat! "Setiap pagi saya bangun bersenam, berlatih main gitar selama dua jam, main piano dan buat lagu. Sesudah itu baru menulis skrip. "Usaha saya ini sangat berbaloi," katanya. Bradley turut memaklumkan dia menjadikan aktor senior, Sam Elliott sebagai panduan bagi menghidupkan karakter Jackson. Sementara itu, Sam mengakui kagum dengan suara tiruan Bradley dan bersetuju menerima tawaran berlakon sebagai Bobby Maine iaitu abang kepada Jackson. A Star Is Born dibintangi oleh Bradley Cooper dan Lady Gaga. Ia ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 18 Oktober lalu. SUMBER: USA Today