TSUNAMI yang melanda Selat Sunda pada malam Sabtu membawa khabar sedih bagi pencinta muzik di Indonesia. Kumpulan terkenal Seventeen dan beberapa krew dilaporkan hilang selepas ombak besar tiba-tiba merempuh mereka yang sedang mengadakan persembahan di Pantai Tanjung Lesung Beach Resort, Banten bersempena hari keluarga sebuah syarikat korporat. Kompas melaporkan sehingga kini, kesemua kelima-lima anggota kumpulan itu, Bani (bass), Yudhi (gitar), Herman (gitar), Andi (drum), dan Ifan (vokal) serta para kru Seventeen belum ditemui. Dalam pada itu, sebuah video yang dirakamkan oleh orang awam yang menghadiri acara itu tular di Twitter yang memperlihatkan Seventeen sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tiba-tiba datang daripada belakang pentas dan menghentam pentas. Kesemua mereka yang berada di pentas itu termasuk kumpulan Seventeen lenyap daripada pandangan akibat pukulan ombak kuat. Orang awam sempat merakamkan persembahan Seventeen sebelum tsunami melanda. Dalam perkembangan sama, anggota kumpulan D'Masiv, Rian turut meminta semua mendokan agar rakan-rakannya selamat dalam kejadian itu. "Pray for Seventeen band. Terkena ombak saat mengadakan persembahan di Pantai Carita. Beberapa kru turut belum ditemui. "Mohon doa agar semuanya baik-baik saja," tulisnya. Menerusi Instagram Seventeen pula, beberapa jam sebelum kejadian mereka turut memaklumkan kepada peminat mereka berada di Tanjung Lesung Beach Resort untuk mengadakan persembahan. Malah ada beberapa video mereka sedang mengadakan persembahan pada acara itu selain mempromosikan lagu baharu mereka, Jangan Dulu Pergi. Sementara itu Reuters melaporkan, agensi bencana Indonesia mengesahkan angka kematian bencana tsunami yang melanda kawasan pantai sekitar Selat Sunda di antara kepulauan Sumatera dan Jawa meningkat kepada 43 orang dan mencederakan 584 orang. “Kami merumuskan laporan tsunami di Selat Sunda, melanda kawasan Serang, Pandeglang dan Lampung Selatan,” kata ketua agensi di Pandeglang, Endan Permana kepada Metro TV pada Ahad. Menurut Permana, gelombang tsunami itu dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan awal gunung berapi Anak Krakatau. Katanya, dalam kejadian yang berlaku malam Sabtu, beratus-ratus rumah rosak dan puluhan dilaporkan hilang. "Ramai hilang. Agensi masih lagi mengumpul maklumat dan terdapat kemungkinan angka kematian dan kerosakan akan meningkat," katanya. Menurut kenyataan dari Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gunung berapi Krakatau meletus kira-kira pukul 9 malam dan tsunami melanda setengah jam kemudian. View this post on Instagram Video yang dirakam oleh orang awam sebelum kejadian tsunami yang melanda ketika kumpulan terkenal Indonesia, Seventeen mengadakan persembahan. Sehingga kini kesemua mereka masih belum ditemui. Video sumber Twitter. A post shared by mStar Online (@mstaronlineofficial) on Dec 22, 2018 at 7:19pm PST