suria

Telefon hilang, Ifan (Seventeen) minta kongsi foto arwah isterinya

Ifan satu-satunya ahli kumpulan yang selamat.

VOKALIS kumpulan Seventeen iaitu Ifan meminta orang ramai menghantar foto isterinya Allahyarham Dylan Sahara jika ada dalam simpanan mereka.

Ifan berkata, telefon bimbit dia dan isterinya hilang dihanyutkan ombak tsunami dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.

"Telefon saya hilang kerana tsunami, telefon Dylan juga hanyut dibawa arus, minta tolong kepada teman-teman yang ada foto bersama Dylan untuk hantar kepada saya di pesanan peribadi.

"Sebabnya sedih sangat kerana saya cuma ada sedikit sahaja foto arwah," ujarnya.

Ifan merupakan satu-satunya vokalis kumpulan itu yang selamat dalam kejadian tsunami ketika melakukan persembahan di Tanjung Lesung Resort, Banten.

Selain isterinya, tiga ahli kumpulannya iaitu Bani (pemain bes), Herman (gitaris) termasuk kru, Ujang dan pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya ditemui meninggal dunia.

Sementara itu, Ifan atau Riefian Fajarsyah, 35, turut mengimbau kenangan manis dan menganggap arwah isterinya sebagai seorang yang suka bergambar.

Bagaimanapun, foto-foto yang dimuat naik di Instagram menjadi satu-satunya kenangan paling berharga buat dirinya.

"Dulu saya tidak gemar jika Dylan muat naik foto ini di IG story dia, ternyata sekarang foto ini jadi foto saat yang paling istimewa.

"Isteri saya suka sangat berfoto, selfie atau foto berdua pasti kalau dia minta selalu memaksa, dia juga sangup untuk ambil sebanyak 20 kali gambarnya walaupun dengan satu gaya sahaja," ujarnya.

Jenazah Dylan Sahara selamat dikebumikan pada Selasa lalu di Ponorogo, Jawa Timur.

Ifan Seventeen

Artikel Lain