suria

Paul McCartney mimpi rakam album baru bersama The Beatles

The Beatles (dari kiri) Ringo Starr, Paul McCartney, John Lennon dan George Harrison.

BEKAS anggota The Beatles Paul McCartney memberitahu dia sentiasa merindukan semua ahli kumpulan itu malah pernah bermimpi mereka semua berada di studio merakamkan album baharu.

Mirror melaporkan Paul, 76, ketika ditemubual bersama BBC Radio Scotland memberitahu dia pernah bermimpi bangun daripada tidur dan melihat salah seorang anggota Beatles iaitu George Harrison berada bersamanya.

"Baru beberapa hari lalu, saya bermimpi terbangun daripada tidur dan George ada bersama saya. Ia perasaan yang cukup baik. George seperti adik saya... Dia paling muda daripada kami semua.

"Saya juga pernah bermimpi berada di studio atau di pentas bersama Beatles," katanya.

Selain Paul dan George, The Beatles turut dianggotai oleh John Lennon dan Ringo Starr.

Dalam pada itu, Paul memberitahu John dan Geogre akan sentiasa menjadi sebahagian besar dalam sejarah hidupnya dan berharap mereka akan dapat kembali bersama walaupun ia tidak mungkin berlaku.

George meninggal dunia selepas menderita kanser pada 2001 pada usia 58 tahun manakala John mati ditembak oleh seorang peminat ketika berusia 40 tahun manakala Ringo, 78, masih aktif sebagai penyanyi solo. 

Untuk rekod, The Beatles adalah kumpulan muzik paling berjaya dalam sejarah muzik dengan 600 juta album mereka terjual di seluruh dunia menerusi 23 buah album studio termasuk 200 album kompilasi dan live yang dihasilkan sejak 1963.

Selain itu, 20 lagu mereka berada di tangga pertama carta Billboard Hot 100 dan sehingga kini rekod itu masih belum berjaya dipecahkan oleh mana-mana kumpulan atau penyanyi solo.

Paul McCartney, Beatles

Artikel Lain