suria

Tidak boleh dekati selebriti, Jimin (BTS) tinggalkan tandatangan buat pramugari

Jimin (BTS) meninggalkan sekeping kertas dengan tandatangannya sebagai hadiah buat seorang pramugari sebuah penerbangan baru-baru ini.

SEORANG pramugari sebuah syarikat penerbangan di Korea Selatan terharu apabila anggota kumpulan BTS, Jimin meninggalkan sekeping kertas yang mempunyai tandatangannya sebagai hadiah kepadanya.

Koreaboo melaporkan pramugari itu yang juga peminat kumpulan terkenal itu memberitahu gembira dengan tindakan Jimin itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghampiri selebriti untuk bergambar atau meminta tandatangan ketika sedang bertugas di awan biru.

"Ketika bertugas untuk penerbangan ke Los Angeles pada tahun baru saya bersama ketua pramugari sangat teruja apabila BTS akan menjadi antara penumpang pesawat itu.

"Kami memang sangat meminati BTS, khususnya Jimin namun atas dasar profesional kami tidak boleh melakukan perbuatan luar batasan seperti meminta tandatangan atau bergambar dengan penumpang terutamanya selebriti.

Kumpulan BTS kini berada di Amerika Syarikat.

"Pun begitu, Jimin nampaknya sedar kami meminatinya dan dia meninggalkan sekeping kertas dengan tandatangannya di atas meja tempat duduknya untuk kami," katanya.

Dalam pada itu, pramugari itu turut mendedahkan BTS sering menggunakan syarikat penerbangan mereka untuk lawatan ke luar negara dan impian untuk bertugas dalam pesawat dinaiki mereka akhirnya tercapai.

Kata pramugari itu lagi, Jimin sangat tenang sepanjang perjalanan ke Los Angeles selain menghabiskan masa membaca buku.

"Paling saya kagum, sebelum dia meninggal pesawat, Jimin mengemaskan tempat duduknya selain melipat selimut yang digunakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, BTS berada di Amerika Syarikat bagi menjayakan konsert jelajah dunia mereka.

BTS, Jimin

Artikel Lain