PENYANYI Demi Lovato menghantar sejambak bunga kepada dirinya sendiri selepas seminggu mengumumkan perpisahan dengan teman lelakinya, Henry Levy. Demi, 26, turut memuat naik gambar bunga tersebut di Instagram selain menunjukkan kad yang tertulis 'you're beautiful, you're loved and you're worthy of a happy and healthy life' (anda seorang yang menawan, disayangi dan layak mendapat kehidupan gembira dan sihat). Daily Mail melaporkan awal minggu ini, Demi berpisah dengan Henry, 27, yang juga seorang pereka fesyen. Pasangan itu dilihat kali pertama bersama pada November tahun lalu selepas kedua-dua mereka menghabiskan masa di Los Angeles untuk menikmati makan malam. Demi ketika itu baharu beberapa bulan selesai menjalani rawatan pemulihan dan sumber terdekat penyanyi itu memberitahu Henry adalah kenalan lamanya dan juga banyak membantunya dalam mengatasi masalah ketagihan dadah.