suria

Anak Kimora Lee Simmons, Aoki Lee diterima masuk ke Harvard pada usia 16 tahun!

Kimora Lee Simmons bersama dua anak perempuannya, Ming Lee (kiri) dan Aoki Lee (kanan).

BEKAS supermodel dan pereka fesyen Kimora Lee Simmons tidak dapat menahan sebak apabila anak perempuannya, Aoki Lee Simmons diterima masuk ke universiti berprestij dunia, Harvard pada usia 16 tahun.

Kimora, 43, memberitahu dia berasa tidak percaya dengan berita itu namun berasa bangga dengan pencapaian anak kesayangannya itu.

"Saya masih menangis dan rasa tidak percaya... Anda semua tidak akan faham apa yang saya lalui namun saya bangga dengan Aoki," katanya seperti dilaporkan People.

Kimora turut berkongsi video saat Aoki mendapat perkhabaran itu dan dia diterima masuk ke Harvard untuk sesi 2023.

Aoki adalah anak Kimora bersama bekas suaminya, mogul muzik, Russell Simmons, 61 dan mereka turut mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Ming Lee Simmons, 19.

Kimora mempunyai dua lagi anak lelaki iaitu Kenzo Lee Hounsou , 9 hasil hubungannya dengan bekas teman lelaki Djimon Hounsou dan Wolfe Lee Leissner, 4 tahun (anak bersama suami terkini, Tim Leissner.

Sementara itu, dalam video berbeza, Aoki memberitahu dia turut diterima masuk ke beberapa universiti lain seperti Dartmouth, Vassar dan Barnard.

Aoki baharu sahaja pulang dari Bali, Indonesia bersama bapanya mengadakan acara kutipan dana bagi membantu mangsa bencana alam dan tsunami di negara itu sebelum memulakan kuliah di Harvard.

Sebelum ini, Aoki bersama kakaknya, Ming pernah muncul dalam program realiti Kimora's: Life in the Fab Lane bersama ibu mereka pada 2007 hingga 2011.

Kimora Lee Simmons, Aoki Lee

Artikel Lain