PENYANYI Britney Spears meminta peminat tidak bimbang dan khuatir dengan tahap kesihatannya.
Menerusi Instagram, penyanyi lagu Baby One More Time ini memberitahu dia dan keluarga memerlukan sedikit waktu untuk kembali bertemu peminat.
"Helo semua, untuk yang risau mengenai keadaan saya semuanya baik-baik sahaja. Saya dan keluarga mengalami sedikit tekanan baru-baru ini, jadi saya perlukan waktu menghadapinya.
"Tapi jangan risau, saya akan kembali secepatnya," katanya pada Rabu.
Sementara itu, menerusi ruangan kapsyen, Britney turut meminta netizen tidak mudah mempercayai sebarang khabar angin mengenai dirinya.
"Jangan percaya semua yang anda baca dan dengar, banyak berita palsu mengenai saya... saya tidak menulis itu semua," ujarnya.
Pada awal April lalu, media antarabangsa melaporkan bahawa penyanyi ini telah mendapatkan khidmat pemeriksaan mental di sebuah pusat kesihatan mental.
Menurut laporan tersebut, Britney telah menjalani pemeriksaan tersebut selepas menderita akibat tekanan perasaan.
Puncanya dikatakan akibat dia berasa tertekan dengan penyakit usus yang dihidapi bapanya, Jamie yang semakin parah.
SUMBER: CNN