suria

“Batin saya terseksa kerana perampas” - Maia alami depresi teruk kerana Mulan Jameela

Maia mendedahkan mengalami depresi.

BEKAS isteri penyanyi Indonesia Ahmad Dhani iaitu penyanyi Maia Estianty menjelaskan penyakit kemurungan yang dialaminya sebelum ini semakin pulih malah dirinya semakin bahagia selepas bercerai.

Menurut laporan Tribunnews.com, Maia terpaksa mendapatkan khidmat pakar psikiatri selepas depresi akibat perbuatan curang bekas suaminya yang menjalinkan hubungan cinta bersama rakan duetnya, Mulan Jameela.

"Sebelum ini saya berasa sangat tertekan. Sudah beberapa tahun batin saya menderita disebabkan oleh perampas.

"Saya diberi pilihan sama ada mahu kembali bersama Ahmad Dhani kalau bersetuju untuk berpoligami...

"Tetapi saya tak mahu bermadu akhirnya saya buat keputusan untuk bercerai. Ternyata saya lebih bahagia sekarang ini," katanya.

Maia berkata demikian menerusi sebuah wawancara bersama program Just Alvin pada Isnin.

Mulan Jameela bergambar kenangan bersama suaminya, Ahmad Dhani.

Menerusi wawancara itu juga, Maia berkongsi mengenai penderitaanya berdepan kemelut rumah tangga hingga akhirnya memutuskan untuk bercerai pada tahun 2008 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu, Maia turut bersikap sinis apabila menganggap perbuatan jahat akan menerima balasan setimpal apabila bekas suaminya itu kini sedang menjalani hukuman penjara.

"Saya lega memiliki kehidupan yang lebih baik malah sudah lama tidak ketawa besar.

"Yang baik akan dibalas baik, perbuatan jahat akan terima balasannya. Mungkin Tuhan sudah kembalikan semula kehidupan yang baik untuk saya.

"Apa yang berlaku sebelum ini saya anggap ujian kerana Dia masih sayangkan saya," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Jakarta Selatan pada 28 Januari lalu menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan selepas Ahmad Dhani didapati bersalah atas kesalahan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Mulan Jameela, Ahmad Dhani

Artikel Lain