suria

Army boleh 'ambil cuti', BTS umum berehat panjang... mahu nikmati kehidupan seperti pemuda biasa

Peminat sambut baik keputusan BTS untuk berehat seketika. Foto: Metro UK

KEPUTUSAN kumpulan Kpop popular, BTS untuk berehat panjang disambut baik peminat mereka dari seluruh dunia.

Menerusi kenyataan pihak pengurusannya iaitu Big Hit Entertainment, BTS buat kali pertama akan berehat panjang selepas kemunculan mereka sejak enam tahun lalu.

"Sudah tiba masanya untuk mereka menikmati kehidupan seharian sebagai pemuda biasa berusia 20-an.

"Sekiranya peminat bertembung dengan anggota BTS di tempat tidak dijangkakan, kami meminta peminat supaya menghormati waktu peribadi mereka," kata pengurusan.

Bagaimanapun, Big Hit Entertainment tidak mendedahkan tempoh rehat kumpulan berkenaan.

Sementara itu, di laman Twitter peminat menyatakan sokongan berterusan kepada BTS dan meminta kumpulan kesayangan mereka ini berehat secukupnya.

Mereka turut berjanji akan memberikan ruang dan privasi kepada semua ahli BTS.

"Kita patut belajar daripada BTS untuk berehat dan ambil masa untuk diri sendiri.

"Memandangkan BTS sedang berehat, harapnya Army juga boleh gunakan peluang ini untuk berehat. Minta semua jaga diri dan keselamatan ya!

"Kami akan beri peluang untuk BTS berehat dan tak sabar untuk bertemu dengan semangat baru nanti," komen netizen.

Dalam pada itu, beberapa portal hiburan di Korea Selatan menjangkakan BTS hanya akan berehat dalam tempoh masa singkat berikutan kumpulan itu dijadual membuat persembahan dianggap 'kontroversi' di Arab Saudi pada Oktober ini.

SUMBER: Metro UK

BTS

Artikel Lain