PELAKON dan pengacara popular Indonesia Raffi Ahmad terpaksa menggunakan kaedah akupuntur dari Guang Zhou, China sebagai inisiatif selepas masalah bengkak pita suara yang dihidapinya sejak beberapa minggu lalu masih belum pulih. Menurut laporan Liputan6.com, Raffi mencuba kaedah itu untuk mengelak dirinya daripada menjalani pembedahan bagi membuang sel-sel yang rosak pada pita suaranya itu. “Setiap pagi seawal jam 7 pagi saya sudah memulakan terapi. Sampai hari ini baru seminggu saya jalani rawatan itu tetapi hasilnya masih belum kelihatan. “Saya jangka sekurang-kurangnya lagi dua minggu mungkin akan nampak perubahannya. Yang penting, saya cukup rehat. “Kalau ia berterusan bengkak saya mungkin terpaksa menjalani pembedahan. Jadi lebih baik saya cuba kaedah tradisional dahulu. Mudah-mudahan sel rosak akan pulih,” ujarnya. Dalam pada itu, Raffi memberitahu, dia dinasihatkan doktor untuk menjalani pembedahan sekiranya kaedah akupuntur ini tidak berhasil dan akan berehat sepenuhnya daripada sebarang aktiviti pengacaraan. Aktor ini menderita penyakit tersebut sejak dua tahun lalu dan keadaannya dilaporkan semakin teruk sehingga membuatkan dia sukar bercakap.