suria

Alami kemurungan, Ariana Grande terpaksa batal sesi ramah mesra pada saat akhir

Ariana terpaksa membatalkan sesi ramah mesra bersama peminat pada beberapa jam sebelum majlis bermula.

PENYANYI Ariana Grande terpaksa membatalkan kesemua sesi bertemu peminat termasuk ujian suara (sound check) sebagai mempromosi konsert jelajah Sweetener akan datang gara-gara masalah kebimbangan melampau (anxiety) yang dihidapinya.

Menurut laporan Dailymail.uk, penyanyi berusia 26 tahun itu mengumumkan perkara berkenaan beberapa jam sebelum majlis bermula menerusi email yang dihantar kepada peminatnya yang sudah membayar untuk menghadiri sesi bertemu peminat di Antwerp, German.

"Hai kesayangan, ia adalah masa untuk saya berterus-terang. Masalah anxiety dan kemurungan sering mengganggu saya sejak kebelakangan ini.

"Selama ini saya sudah memberikan yang terbaik dan cuba untuk menyembunyikan perkara ini. Tetapi hari saya tidak dapat menahannya lagi," katanya.

Kata Ariana, adalah lebih baik untuknya membatalkan sebarang sesi ujian suara termasuk sesi bertemu peminat bagi memberikan ruang buat dirinya membuat persediaan bagi konsert itu nanti.

Ariana berjanji kepada peminat untuk memberikan persembahan terbaik pada konsert jelajah Sweetener itu nanti.

"Selepas memikirkan mengenai hal ini, saya membuat keputusan untuk tidak menghadiri apa-apa soundcheck mahupun sesi ramah mesra pada hari ini agar saya boleh berehat secukupnya untuk konsert nanti.

"Tidak enak juga kalau saya terpaksa hadir majlis bersama anda tetapi terburu-buru untuk pulang. Sejujurnya saya amat berbesar hati untuk meluangkan masa bersama anda tetapi malangnya saya tidak dapat hadir pada hari ini.

"Alangkah baiknya kalau saya dapat kawal 'penyakit' ini... tiada siapa yang dapat memahami melainkan mereka yang pernah mengalaminya.

"Saya sayangkan anda, saya berjanji untuk memberikan yang terbaik pada persembahan itu nanti," katanya.

Ariana Grande, Sweetener

Artikel Lain