SELEPAS tiga tahun menyulam cinta, penyanyi Britney Spears dijangka bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat. Perkara itu menjadi perhatian ramai selepas teman lelakinya, Sam Asghari menyatakan kesediaan untuk melamar penyanyi yang terkenal dengan lagu Toxic itu menerusi sebuah temubual dengan media tempatan. Menurut Sam, hubungan cinta yang dijalinkan bersama Britney itu adalah serius dan dia menyimpan hasrat untuk menjadikan Britney sebagai isteri. Kata Sam, 25, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan anak-anak dan keluarga Britney malah sudah beberapa kali bertemu ibu bapa penyanyi berkenaan. "Apa yang saya suka mengenai Britney adalah dia buat saya rasa selesa berada di sisinya. "Meskipun dia merupakan seorang penyanyi popular tetapi dia menghormati hubungan ini dan menjaga privasi. Kami menjalani kehidupan seperti orang biasa. Sam sering meluangkan masa bersama Britney. "Dia banyak memberi inspirasi dalam kerjaya saya dan kami banyak menghabiskan masa bersama. Saya juga banyak membantu dia untuk pulih daripada masalah kesihatan mentalnya," katanya. Bercerita mengenai perkembangan terkini wanita itu, Sam berkata Britney kini semakin pulih dan sedang menjalani kehidupan yang lebih baik bersama anak-anaknya. Pada April lalu, Britney dibenarkan keluar dari pusat rehabilitasi mental selepas menjalani rawatan selama sebulan. Keadaan bintang pop terkenal itu berada dalam keadaan stabil sejak dimasukkan ke hospital namun masih berada di bawah pemerhatian pakar. Britney sebelum ini pernah menyerang beberapa paparazi dengan payung dan menjerit seperti orang kurang siuman selepas berang kerana merakamkan beberapa foto dirinya berimej botak. - TheHollywoodGossip.com