PELAKON Ahn Jae Hyun yang memegang watak utama dalam program televisyen popular, New Journey To The West memberitahu tidak akan meneruskan penggambaran bagi musim ketujuh sekaligus mengumumkan untuk menarik diri daripada program itu baru-baru ini. Menurut laporan Koreaboo.com, keputusan itu dibuat Ahn Jae Hyun selepas mengambil kira beberapa perkara berikutan kontroversi perceraiannya dengan bekas isteri, Goo Hye Sun. "Ahn Jae Hyun sudah membuat keputusan muktamad... dia menarik diri daripada melakonkan wataknya bagi musim terbaharu New Journey To The West. "Saya difahamkan dia sudah berbincang dengan pihak produksi berkaitan hal itu... antara puncanya adalah dia tidak mahu menyebabkan sebarang kesulitan kepada rakan-rakan lain disebabkan kontroversi yang dihadapinya ketika ini. "Dia juga percaya, situasi ketika ini tidak sesuai untuk dia membuat kemunculan lebih-lebih lagi menerusi program gelak tawa seperti itu," kata sumber terdekat. Kontroversi perceraian yang dihadapinya menjadi punca dia menarik diri dari program popular itu. Ahn Jae Hyun merupakan antara pelakon tetap dalam program berkenaan sejak musim ke-2 program itu ditayangkan. Dia juga merupakan antara peserta yang paling diminati ramai gara-gara wataknya yang suka berjenaka. Pelakon itu sebelum ini pernah meluahkan rasa cinta terhadap isterinya itu ketika berada di atas gunung Okryong Snow kira-kira tiga tahun lalu. Aksinya itu turut berjaya dirakam ketika dia sedang menjalani penggambaran program New Journey To The West 2 sehingga ia mendapat perhatian ramai.