ISTERI kepada penyanyi Justin Bieber iaitu Hailey Baldwin mengakui dia tidak berasa yakin dan sentiasa membandingkan dirinya dengan model lain. Memetik laporan dari Hollywoodlife, Hailey menganggap dirinya tidak sesuai menjadi seorang model peragaan seperti rakan baiknya, Kendall Jenner, Bella Hadid dan Gigi Hadid. "Saya tidak mempunyai ketinggian seperti model yang lain, saya bukan model peragaan dan saya sentiasa berasa rendah diri apabila bersama dengan rakan-rakan. Hailey berasa dirinya tidak mampu menjadi model seperti rakan-rakan baiknya. "Lihat Kendall, Bella Hadid dan Gigi. Mereka tinggi dan sangat bagus dalam dunia peragaan," katanya menerusi temu bual bersama majalah Vogue Australia. Menurut Hailey, dia pernah melalui pengalaman yang sukar dalam bidang tersebut apabila ada segelintir pihak menganggap dirinya tidak sesuai menjadi model. Biarpun hampir berputus asa namun Hailey telah membuktikan dia mampu melakukan yang terbaik sehingga menjadi antara model jenama terkenal antarabangsa seperti Versace, Tommy Hilfiger dan Off-White.