TINDAKAN sekumpulan pelawat merakamkan swafoto (selfie) di kubur bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie mengundang rasa kurang senang beberapa pihak. Ini termasuklah penyanyi Anggun yang turut kecewa dan bersedih dengan tindakan individu berkenaan yang dilihat berebut-rebut ingin bergambar bersama batu nisan di makam tokoh politik tersebut. Menurut Anggun, sudah tiba masanya masyarakat dididik mengenai adab dan menilai sesuatu perkara sebelum berkongsi di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Presiden ketiga Indonesia BJ Habibie meninggal dunia "Melihat foto ini terus rasa sedih, mungkin sudah masanya diberi pendidikan untuk para generasi selfie yang harus belajar menilai situasi dan melihat konteks terlebih dahulu. "Ada masa boleh selfie dan ada masa tidak. Ada banyak hal yang boleh dikongsi tapi banyak juga yang tidak perlu," katanya. Penyanyi lagu Mimpi ini meluahkan rasa kesal itu menerusi Instagram pada Sabtu. Perkongsiannya itu menerima lebih 30,000 tanda suka dan hampir 2,000 komen pengikut. Malah, beberapa orang selebriti terkenal Indonesia turut bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Anggun itu. "Masya-Allah, sedih sangat tengok!," kata Dewi Gita. "Jadi ikutan bergambar dengan benda terkini dan muat naik di media sosial, sangat menyedihkan tapi inilah yang berlaku," komen Bertrand Antolin pula. Bekas presiden berusia 83 tahun itu meninggal dunia pada Rabu lalu akibat komplikasi masalah jantung dimaklumkan anaknya Tariq Kemal kepada sebuah stesen televisyen tempatan.