SALAH seorang anggota kumpulan Kpop terkenal iaitu J-Hope berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dinaikinya bersama ahli BTS yang lain tiba-tiba 'hilang' dari pandangannya ketika bercuti di New Zealand. Segalanya bermula apabila kenderaan yang dinaiki kumpulan itu berhenti di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol sementara J-Hope dikatakan keluar dari kenderaan untuk membeli barangan di kedai sebaneka stesen minyak berkenaan. Bagaimanapun, ketiadaan J-Hope di dalam kenderaan itu tidak disedari rakan-rakannya yang lain yang kemudiannya beredar dari stesen minyak berkenaan. Menerusi video yang tular di media sosial itu, kelihatan J-Hope terpinga-pinga bertanyakan kepada seorang jurugambar mengenai kenderaannya itu. Kenderaan yang dinaiki J-Hope bersama ahli kumpulan BTS yang lain meninggalkan stesen minyak terbabit. Menyedari dirinya ditinggalkan, penyanyi itu kemudiannya membuat panggilan terhadap salah seorang rakannya dan meminta untuk dijemput. Rata-rata peminatnya bagaimanapun terhibur melihat J-Hope yang panik ditinggalkan rakannya di stesen minyak berkenaan. Ahli kumpulan BTS sebelum ini pernah berdepan beberapa insiden sama apabila salah seorang anggota mereka pernah kehilangan beberapa barangan lain termasuk pasport dan beg pakaian milik mereka. - Koreaboo.com