PENYANYI terkenal Indonesia, Agnez Monica memberitahu peminatnya bahawa beliau mengalami masalah bengkak pada pita suara dan dinasihatkan supaya berehat dari membuat persembahan selama seminggu. Penyanyi lagu berjudul Matahariku ini memberitahu perkara itu menerusi sebuah posting yang dimuat naiknya di akaun Instagram peribadi @agnezmo berserta foto memaparkan dirinya sedang berbaring. ARTIKEL BERKAITAN: “Untuk jadi sebahagian Indonesia bukan darah keturunan tapi hati kita” - Cinta Laura Jelas penyanyi itu, bengkak pada pita suara sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kariernya sebagai penyanyi. Posting yang dimuat naik oleh Agnez menerusi akaun Instagram miliknya. "Seperti yang kamu semua tahu, saya mengalami sakit hampir seminggu. Saya mengalami selesema yang teruk," tulis Agnez pada posting tersebut yang dimuat naik olehnya pada Khamis. Oleh kerana tidak mahu penyakit yang dialami berpanjangan, Agnez kemudiannya pergi berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Agnez turut dinasihati untuk mendapatkan rehat yang cukup kerana pita suaranya telah bengkak malah jelasnya, dia tidak dapat beraksi dalam membuat persembahan selama seminggu. "Semasa pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan terapi intravena, beristirahat dan masih demam, selain pita suara saya semakin membengkak. Doktor menyarankan saya untuk tidak menyanyi dahulu selama seminggu," katanya. Agnez kini bergiat aktif menempah nama di peringkat antarabangsa. Walaupun begitu, Agnez berharap agar kesihatannya akan pulih seperti biasa. "Saya baik-baik saja dan segera pulih, tetapi pita suara saya sangat bengkak. Radang juga sangat teruk dan keadaan bengkak juga belum surut," tambahnya. Meskipun dalam keadaan tidak sihat, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia ini berjanji untuk memberi kejutan istimewa buat peminatnya menjelang hari Natal ini. "Saya tidak dapat memberitahu anda betapa sedihnya saya jadi disebabkan itu saya telah menyediakan sesuatu yang sangat istimewa untuk anda untuk konsert Chrismast ini," ujarnya. Dalam pada masa yang sama, rata-rata peminat meninggalkan kata-kata semangat di ruangan komen serta mendoakan akan kesihatannya semakin pulih. "Ya sudah, kamu perlu berehat sahaja di rumah. Tentang suara kamu yang hilang itu, saya akan menghubungi polis agar mereka dapat menemukannya semula. Lain kali hati-hati ya menyimpannya," gurauan daripada seorang netizen. Liputan6