suria

Penduduk halang mayat pesakit Covid-19 dikebumi... Yuni Shara kesal tindakan tak berperikemanusiaan!

Yuni sedih apabila mengetahui ada jenazah pesakit Covid-19 dihalang kebumi di tempat tinggal mereka.

PENYANYI popular Indonesia, Yuni Shara meluahkan rasa kesal dan sedih apabila ada masyarakat menolak jenazah pesakit Covid-19 daripada dikebumikan ditempat tinggal mereka.

Menurut laporan Grid.ID, Yuni berkata berita mengenai perkara itu menyebabkan dia dan rakan artis lain turut bersedih dan bersimpati dengan kejadian yang berlaku.

"Kejadian masyarakat tak mahu jenazah ditanam di tempat mereka amat menyedihkan.

"Pesakit ini sudah lama menderita sepanjang akhir hayatnya dan dikuarantin tanpa bertemu keluarga.

"Sedangkan tinggal berjauhan dengan keluarga sudah menyiksakan, bayangkan apabila jenazahnya diperlakukan sedemikian. Cukup kasihan!," katanya.

Justeru itu, adik kepada penyanyi Kris Dayanti ini berharap tindakan tidak berperikemanusian itu dapat dihentikan.

Tambahan pula, teknologi perubatan pada hari ini dapat membantu menguruskan jenazah tanpa memberikan kesan kepada masyarakat setempat.

"Saya mohon jangan lakukan seperti itu lagi kerana jika ada keluarga yang dilakukan sebegitu pasti berasa sedih dan amat menyakitkan.

"Jangan ditambah lagi hal-hal sebegini. Lagipun ada orang lain yang akan menguruskan pengebumian itu nanti," ujarnya.

Sebelum ini tular rakaman video kejadian di Indonesia apabila masyarakat sebuah kampung menghalang jenazah pesakit Covid-19 daripada dikebumikan di tanah perkuburan kampung mereka.

Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen di Indonesia dan Malaysia.

Yuni Shara, Covid-19

Artikel Lain