PEMERGIAN penyanyi lagu tradisional Indonesia, Didi Kempot turut meninggalkan kesan kepada rakan selebriti antaranya penyanyi Judika yang terkejut dan bersedih dengan berita tersebut. Menerusi laporan Hot Detik, Judika mendedahkan dia sepatutnya membuat persembahan bersama penyanyi dan komposer itu pada Selasa lalu. Bagaimanapun, persembahan itu dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: Baby Shima sedih penyanyi tradisional Indonesia Didi Kempot meninggal dunia, pernah berduet ketika sertai pertandingan nyanyian "Sejujurnya ikutkan jadual saya hari ini (Selasa) saya buat persembahan satu pentas dengan Abang Didi. "Itu merupakan sebahagian projek duet terbaharu kami Banyu Langit di sebuah stesen televisyen. Tapi dimaklumkan dia tidak dapat datang ke Jakarta kerana kawalan Covid-19," katanya. Didi kempot memperjuangkan muzik tradisional. Sementara itu, Judika berkata pemergian Didi merupakan satu kehilangan besar buat industri hiburan Indonesia. Dia turut mengagumi bakat Didi dan mengakui pernah menyanyikan beberapa lagu popular penyanyi serta komposer itu. "Saya sangat kagum dan bangga Indonesia ada pemuzik seperti Abang Didi Kempot yang selalu buat negara kita bangga dengan muzik tradisionalnya. "Stasiun balapan, sewu kuto dan banyak lagi lagunya yang sering saya nyanyikan semasa persembahan," ujarnya. Allahyarham yang berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi (waktu Indonesia) di Hospital Kasih Ibu, Jawa Tengah pada Selasa. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!