SEBUAH gitar milik pemuzik terkenal, mendiang Kurt Cobain berjaya dilelong dengan harga tinggi di sebuah acara di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Menurut laporan The Guardian, gitar tersebut berjaya dibida pada harga AS$6 juta (RM25.6 juta) dan memecah rekod sebagai gitar paling mahal pernah dijual. Gitar jenis 1959 Martin D-18E itu pernah digunakan Kurt Cobain ketika dia menjayakan persembahan di acara MTV Unplugged pada tahun 1993. Pada malam tersebut, Kurt Cobain tampil bersama kumpulan Nirvana membawakan deretan lagu-lagu popular. Rakaman penuh persembahan Kurt Cobain di acara MTV Unplugged itu boleh ditonton oleh peminat setelah kematiannya. Untuk rekod, gitar yang pernah dilelong dengan harga tertinggi sebelum ini merupakan milik David Gilmour, Pink Floyd. Ia dibida dengan harga AS$3.95 juta (RM17 juta).