suria

Liam Hemsworth tak terkesan lirik lagu baharu Miley Cyrus

Liam Hemsworth mahu teruskan hidup tanpa Miley Cyrus.

PENYANYI terkenal antarabangsa Miley Cyrus memberi bayangan jelas tentang bekas suaminya pelakon Liam Hemsworth dalam single terbaharunya iaitu Midnight Sky.

Menurut sumber Hollywoodlife, Liam bagaimanapun tidak terkesan dengan tindakan Miley malah memahami cara bekas isterinya mengekspresikan perasaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Miley Cyrus, Cody Simpson putus selepas 10 bulan bercinta

"Liam tak terkesan pun dengan lagu baharu Miley. Malah dia yakin lagu itu akan hit seperti semua lagu-lagu Miley yang lain.

"Dia faham permainan Miley dan juga cara Miley mengekspresikan perasaannya menerusi muzik," ujarnya.

Tambah sumber tersebut, bekas pasangan suami isteri itu mempunyai sejarah yang panjang dalam perhubungan mereka dan berkata ia mematangkan mereka.

Bagaimanapun, Liam dilaporkan tidak mempunyai perancangan untuk bertemu atau berhubung dengan Miley malah sudah meneruskan kehidupannya.

"Mereka mempunyai sejarah yang panjang bersama... mereka juga menghabiskan sebahagian besar hidup mereka bersama sebagai pasangan. Itu tidak akan pernah berubah dan dia tahu mereka banyak belajar antara satu sama lain melalui hubungan mereka.

"Liam tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk berhubung dengan Miley tetapi mengharapkan yang terbaik buatnya. Dia sudah meneruskan kehidupannya dan sedang fokus kepada karier," jelas sumber tersebut.

Miley dan Liam berkahwin pada Januari 2019 sebelum berpisah pada Ogos tahun sama.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain