KUMPULAN Blackpink menerima kritikan dalam kalangan netizen dari negara China apabila terkait kontroversi memeluk anak beruang panda dalam satu rancangan realiti, baru-baru ini. Keempat-empat ahli kumpulan Kpop ini dilihat memeluk anak panda bernama Fubao berusia tiga bulan di sebuah pusat pemeliharaan Everland, Korea Selatan. Gara-gara kontroversi itu, pihak pengurusan YG Entertainment memberitahu mereka terpaksa menunda pelancaran episod terbaharu itu. "Kami mengambil keputusan untuk menunda pelancaran episod akhir dari 24/365 dengan Blackpink. "Untuk makluman, interaksi Blackpink bersama dengan anak panda di Pusat Everland berada di bawah pengawasan doktor haiwan dan petugas," katanya. Akur tindakan ahli kumpulan itu boleh menimbulkan pelbagai spekulasi, pihak pengurusan mengambil tindakan untuk tidak menayangkan episod tersebut. Bagaimanapun, mereka tetap menegaskan rakaman itu dijalankan mengikut langkah-langkah kesihatan dan keselamatan ditetapkan seperti memakai topeng muka dan baju pelindungan diri. Blackpink dianggotai oleh Jisoo, Rose, Jennie dan Lisa. SUMBER: Soompi